Monday, September 1, 2008

Hari-hari terakhir seorang isteri

Azan Subuh berkumandang. Dalam teleku mengadap Ilahi, sebak bertandang. Terasa basah di hujung bibir. Ah! mengapa airmata ini tidak mampu berhenti mengalir? Kuhadapkan pasrah ini padamu Ilahi kerana padaMu jua, aku datang dan dikesudahan ini nanti aku kembali.

Dada terasa sakit dan nafasku sesekali sesak. Ramadhan terakhirkah buatku tahun ini? begitu banyak kesakitan, begitu banyak duka dan begitu berat ujian dan dalam rebahku kala melabuhkan lelah di penghujung malam aku amat berharap, kiranya itu adalah yang terbaik dan terlayak buatku biarlah seusai tidurku nanti, aku tak akan bangun-bangun lagi. lalu Allah jua yang merancang dan penentu takdir yang terbaik buat aku. PadaNya kuserahkan segala-galanya.

Berulang kali aku menyusun ketabahan. Selembar demi selembar dan mengapa sesekali untaian sabarku masih tercalar? Aku menyusun langkah dan mengapa dalam teliti aku mengatur perjalanan itu aku masih ditakdirkan untuk jatuh dan tersungkur? Lantas aku bangun, bertatih kembali dan sehingga ke hari ini aku masih tersadung?

Menatap ke wajah dua cahayamataku, Fatin dan Mujahid aku berasa terluka. Maafkan ibu anak-anakku kerana ibu tidak mampu menyediakan kehidupan terbaik buat kalian. maafkan ibu kerana dalam meniti hari-harimu ibu terpaksa mengheret kalian dalam luka sedalam ini. Ibu berusaha wahai anak-anakku menghidangkan santapan terbaik agar sepanjang kalian membina empayar kehidupan kalian, hanya melihat ibu yang tersenyum, ibu yang sentiasa menghamparkan cintanya.

Ibu tak mampu lagi anak-anakku. Terlalu luas ranjau yang terpaksa ibu tempuhi dan membawa kalian dalam saujana itu hanya akan mencalar hati-hati kalian sebagaimana tercalarnya hati ibu ini. Melepaskan kalian ke satu tangan dan hati yang tak pernah mengerti, juga seperti ibu menusukkan sebatang jarum dan selumbar ke dalam dada sendiri.

Tak mungkin ada yang akan mengerti anak-anakku dan ibu yakini sampai satu saat tatkala kalian dewasa dan melihat ke wajah-wajah hari yang pernah kalian lalui, kalian akan memahami.

Terasa perit di sudut dada.

Segalanya bermula dari sebuah kesilapan dan entah bagaimana aku dapat memadamkan semua kesilapan itu. Apalah yang aku tahu..apalah yang mampu kudayakan tika itu. Dalam pasrah dan mengharapkan suatu sudut yang terbaik aku terpaksa menerima jua dirinya. Tiada tempat buat bertanya dan mengadu. Semua hanya tahu menyalahkan dan tiada siapa yang bertindak memberi jalan.

Kita disatukan juga sedangkan di hati kecilku amat sukar untuk menerima suami yang telah menikahi ku itu benar-benar telah mencalarkan hatiku. Aku tidak pernah mampu memadamkan kesakitan yang turut kau berikan sebagai hantaran di hari perkahwinan kita. kau masih sempat mengugutku.
"kalau Ja tak dapat pinjamkan abang duit tu..esok abang takkan datang!" Menatap wajah mak dan membayangkan malu yang akan ditanggung seisi keluarga aku terpaksa. Itulah ugutan kedua setelah yang pertama keluar dari mulut ibumu. Kau barangkali tidak menyedarinya wahai suami sesungguhnya belumpun aku menyerahkan seluruh hidupku kau telah dulu menghancurkannya.

Bertahun-tahun suamiku, kau tidak pernah ada di sana tika dan saat aku amat memerlukan dirimu. Saat aku kesakitan, saat aku kesedihan juga saat aku terlalu ingin berkongsi tawaku. kau hanya tahu hadir kala kau merasakan dirimu ditinggalkan, saat kau rasa sendirian. Cintamu ku rasakan seperti angin yang lalu. Aku masih menanti namun kau tidak pernah hadir untuk mengisi kekosongan dan menoktahi penantian ku itu. Setelah bertahun-tahun aku merasa sendiri dalam melayari bahtera hidup ini, katakanlah..apakah cukup untuk sehari aku mengambus setiap luka lara ini dan kembali padamu?

Aku jemu dengan penantian itu dan tika satu saat aku berpaling dari menyusuri jalan dan langkah yang sama. mengapa kau tidak pernah mahu mengerti wanita yang telah kau sakiti ini hanya ingin mengembalikan semalamnya yang hilang dan mengatur kembali langkah yang kau nafikan lurusnya?

Aku sedang berusaha menjernihkan wajah-wajah keruh 10 tahun yang kau canting buatku. Sementara masih ada kenangan indah yang masih boleh kuingat tentangmu. Lepaskan lah aku pergi kerana aku teramat ingin menghirup udara ketenangan.

"Ayah ingat kalau dapat tukar shift normal tahun depan, ayah akan bawa Mujahid."
Alangkah tenang kau menuturkan setiap kata-kata itu. kau masih boleh memandangku tanpa sepalit rasa bersalah. Kau masih mampu tersenyum. Apa yang ada di hatimu lelaki? Bukankah anak kecil itu adalah anak yang kulahirkan? Anak yang kubesarkan dan kuasuh dan kau seolah-olah mengambilnya dariku bagaikan dia hanya barang! Kau terlupa bagaimana kehidupan yang telah kauberikan padanya. Aku kah yang terlupa memikirkan tentang anak-anak sedangkan kau sendiri yang berusaha memisahkan kami asalnya.

Ada luka di hati ini lelaki. Ada dendam yang mula membara.

kau ingin merentap anak-anak itu dariku sedangkan sepanjang mereka dewasa di mana hadirmu? kau tidak pernah tahu sakit dan pening kami, kau tidak pernah ambil peduli tentang kerunsingan aku memikirkan pendidikan anak-anak. kau tidak pernah ada di sana kala aku kelemasan mengenang hari depan mereka.

Lalu hari ini apakah kau tidak pernah malu kala kau mengherdikku.."Ayah punya hak!!" Bisikkan padaku lelaki apakah cukup dengan hanya menghulurkan sejumlah wang dipenghujung bulan sudah melunaskan setiap hak anak-anak dan isterimu? Bagaimana dengan hak kami yang terus-terusan kau sandar di bahu aku?

Kau mengharapkan kesetiaan, bisikkan kepada ku lelaki...apakah kau cukup setia terhadap aku isterimu? kau mengharapkan aku memberimu ketenangan dan katakan pada aku ini..cukup tenangkah aku tatkala setiap saat kau nyalakan api di telapak kakiku? Kau mengharapkan isterimu ini memberimu keselesaan, apakah aku mampu setelah bertahun-tahun kau hadiahi aku kesepian dan kini kau mengharapkan aku kembali? Fikirlah...apakah kau cukup layak untuk menerima segala itu?

Kau bawa insan lain dalam hidup anak-anakku. Kau calarkan wajah aku ibu mereka dengan membeli hati-hati mereka. Aku takkan pernah lupa lelaki..setiap detik kesakitan yang kau palit di hati ini. Takkan pernah lupa!

Hari itu kala aku mengharapkan hadirmu, sepanjang hari aku menanti kau datang tapi masihkah aku boleh tersenyum tatkala pulangku kau sambut dengan luka sedalam itu? Cerita dari anak-anak tentang ayah yang membawa mereka makan bersama seorang 'kawan baik'.
"Siapa ayah?"
"Kawan.."
"Yelah..tapi siapa?" Aku merasa pelik. mengapa sukar untuk kau menyatakan siapa dirinya? Kau seolah cuba menyembunyikan sesuatu dariku.
Akhirnya muncul nama itu..'Aiza'